Pameran semarakkan semangat patriotisme di RTM
KUALA LUMPUR 23 Ogos - Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyemarakkan semangat patriotisme warga kerjanya sepanjang Bulan Kemerdekaan ini dengan mengadakan Pameran Sambutan Kemerdekaan Ke-53 di pekarangan Muzium RTM di sini bermula hari ini hingga 31 Ogos ini.
Pameran bertujuan mengenang jasa pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh negara yang telah berjuang demi mempertahankan ibu pertiwi dirasmikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.
Dalam ucapannya, beliau berharap pameran itu akan menanam semangat cintakan negara dalam diri warga RTM dengan mengimbas kembali peristiwa-peristiwa bersejarah ketika negara mencapai kemerdekaan.
"Warga RTM yang melawat pameran ini juga berpeluang melihat alat-alat dan teknologi RTM yang digunakan pada masa dahulu," katanya.
Ibrahim berkata, kehadiran veteran-veteran RTM pada majlis itu adalah sesuatu yang istimewa kerana mereka berjuang bersama RTM dalam menyampaikan maklumat kemerdekaan kepada masyarakat menerusi radio dan televisyen.
"Warga RTM dapat melihat perjuangan agensi ini dalam merealisasikan dasar kerajaan dengan mengunjungi pameran ini.
"RTM sentiasa dipandang tinggi sebagai peneraju terulung dalam bidang penyiaran oleh masyarakat kerana menyampaikan mesej kerajaan dengan berkesan dan tepat," ujarnya.
Tambah beliau, masyarakat perlu menunjukkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja mereka berada. Walaupun ini adalah sumbangan yang kecil, namun ia memberi penghayatan yang mendalam mengenai kemerdekaan.
"Selain itu, pameran ini turut memaparkan perkembangan RTM dalam memberi kesedaran mengenai kemerdekaan kepada masyarakat melalui media," tegasnya.
Katanya, banyak program mengenai kemerdekaan akan dianjurkan oleh RTM selaras dengan usaha kerajaan menjana pembangunan modal insan yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
From Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment