Raptai penuh sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-53 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini menjanjikan persembahan unik berbanding tahun-tahun sebelumnya menerusi penggunaan formasi cahaya serta imej yang menggambarkan semangat 1Malaysia.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, walaupun sambutan kali ini diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, namun semua persembahan berupaya menerapkan pengertian dan mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kemerdekaan Ke-53 memberitahu, antara mesej berkenaan berkaitan pengertian 1Malaysia serta perkara-perkara yang perlu difahami rakyat seperti Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta Pelan Transformasi Kerajaan.
''Kira-kira 15,000 rakyat dijangka membanjiri stadium bagi menyaksikan persembahan sempena Hari Kemerdekaan yang banyak melibatkan generasi muda dan pasukan keselamatan.
"Persembahan selama dua jam bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 9.30 pagi itu berkemampuan menjelmakan mesej 1Malaysia dengan pengisian yang lebih tepat,'' katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan raptai penuh upacara sambutan itu di stadium berkenaan di sini hari ini yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.
Rais berharap rasa penyatuan dan kegembiraan menyambut kemerdekaan dapat dikongsi bersama di kalangan rakyat Malaysia menerusi persembahan yang ditonjolkan.
Berdasarkan raptai itu, beliau amat berpuas hati dengan segala usaha yang dilakukan jawatankuasa tersebut selain persembahan yang ditunjukkan para peserta.
"Saya tidak dapat nyatakan sama ada ia akan menjadi sambutan yang terbaik atau tidak, tetapi sambutan ini kena pada tempatnya dan sesuai dengan masa kita menyambutnya iaitu pada bulan Ramadan.
"Mungkin ada kekangan dari segi perbelanjaan serta tiada perarakan seperti di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, namun ia tetap ada keunikan tersendiri dan jika mendapat reaksi positif, tidak mustahil kita akan menganjurkannya di stadium yang lebih besar pada masa akan datang," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyeru rakyat negara ini agar terus mengibarkan Jalur Gemilang sesudah sambutan kemerdekaan berakhir.
"Selepas 31 Ogos terus kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara kerana kita bakal menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini," katanya.
From Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment